Ma Famille
(Keluargaku)
Gambar ini diambil oleh seorang pelancong Korea yang menawarkan bantuan untuk mengambil gambar kami sekeluarga berlatar belakangkan dekorasi besar-besaran bagi menyambut Hari Natal yang bakal menjelang. Saya tidak mempamerkan gambar ini semata-mata kerana gambar ini diambil oleh seorang jejaka Korea ( walaupun saya juga dilanda demam Korea yang turut mempengaruhi gadis-gadis Malaysia kini ) tetapi kerana gambar ini merupakan satu-satunya gambar di mana kami sekeluarga memandang ( dan tersenyum ) ke arah kamera.
Sebelum saya bermula, saya ingin membuat pengakuan bahawa saya bukanlah kaki blogger yang sanggup menghabiskan satu pertiga masanya di depan skrin komputer dan meluahkan segala perasaan yang terkurung di dada atau menceritakan aktiviti yang dilakukan sepanjang hari dari A sampai Z dalam blognya yang akan menjadi tatapan pelbagai strata masyarakat. Saya tidak pernah peduli untuk mengikuti blog-blog orang lain apatah lagi membikin blog sendiri! Namun disebabkan guru mata pelajaran Sivik saya yang sudah jelak menerima folio yang menggunung bagai Gunung Everest di atas mejanya, beliau menyuruh kami memanfaatkan teknologi dan membuat blog sendiri demi mendapatkan markah 'coursework'. Saya menarik nafas lega tatkala mengetahui tajuk yang perlu ditulis iaitu 'Keluarga Saya'.
Saya hanya ingin berkongsi beberapa butir peribadi mengenai diri saya tetapi bukan secara terperinci. Hanya sekadar supaya anda dapat mengenali diri saya dan insya-allah hubungan persahabatan dapat dijalinkan. Saya berumur 16 tahun dan berasal dari sebuah bandar yang tidak pernah leka daripada mengejar kemajuan iaitu Subang Jaya. Saya kini menuntut di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka yang baru dinobatkan sebagai MRSM terbaik untuk kecemerlangan keputusan SPM. Saya berasa bersyukur dan amat bertuah dapat memijak bumi TGB ini.
Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa banyak cabaran yang telah ditempuhi dalam tempoh 2 bulan di sini namun dari perspektif saya, segala kesulitan yang dihadapi akan menjadikan kita lebih matang dan berpengalaman dalam soal kehidupan. Saya tidak akan menyangkal bahawa saya juga dilanda 'homesickness' untuk beberapa minggu namun saya tidak malu untuk menyatakannya atau ingin menyembunyikannya kerana ini membuktikan hubungan rapat antara saya dengan keluarga saya. Justeru, saya ingin menyingkap sedikit lembaran hidup saya mengenai orang-orang yang bertakhta di hati buat kini dan seratus tahun akan datang.........
Ayah, Bapa, Papa, Abi atau apa saja panggilan yang diberikan kepada bapa anda, apa yang penting ialah kehadirannya dan aura kekuatan serta perlindungan yang diberikannya kepada sesebuah institusi keluarga. Bagi saya, bapa saya dapat diibaratkan sebagai selimut saya. Semasa saya baru petah bercakap, saya membenci selimut saya dan kerap kali menendangnya dari katil hingga terjatuh ke lantai. Saya merasakan bahawa selimut itu sangat merimaskan dan mengganggu keselesaan tidur saya. Namun, dalam keheningan pagi, saya akan terjaga dari dibuai mimpi dan mulalah merangkak di atas lantai parket dalam usaha mencari selimut saya bagi membaluti tubuh yang menggigil kesejukan. Konklusinya, jika terlintas di fikiran anda yang anda tidak memerlukan kasih sayang dan bimbingan dari seorang insan yang bergelar bapa, ingatlah kisah saya ini. Walau berulang kali anda menjauhkan diri daripadanya, dia tetap akan setia menanti dan membantu kita bila kita memerlukannya serta menjadi sumber kekuatan kita. Begitu hebatnya nilai kasih sayang seorang bapa!
Bapa saya dikenali sebagai Azhar. Dia bekerja tanpa mengenal erti penat untuk mencari sesuap nasi bagi mengisi perut isteri dan anak-anaknya yang bagai ditatang di anak lidah. Dia berkecimpung dalam bidang perakaunan di Kuala Lumpur yang merupakan kota metropolitan yang semakin hanyut dalam arus kemajuan. Oleh itu, bapa saya sangat bijak menyelesaikan masalah-masalah Matematik dan merupakan tempat rujukan saya yang kurang meminati nombor ini. Ternyata, kepakaran dalam Matematiknya tidak diturunkan melalui DNA kepada saya. Alangkah malangnya....
Bapa saya menepati piawaian setiap bapa yang pernah saya temui- memiliki '6-pack'. Jangan salah sangka. Beliau bukan seperti Taylor Lautner yang diidami semua peminat Twilight tetapi yang dimaksudkan dengan 6-pack ialah lapisan lemak tepu. :p.
Dia gemar merakam saat-saat kami sekeluarga meluangkan masa bersama-sama ada ketika beriadah di luar mahupun ketika kami sekeluarga hanya melepak di rumah menonton tv sambil mengunyah kuaci. Baginya, momen-momen yang nampaknya biasa sahaja seperti ketika adik saya menari dengan lincah mengikuti rentak lagu kegemarannya perlu dihargai kerana momen-momen sebegitu tidak dapat diulang tayang....... kecuali jika ia dirakam!
'Tiada sesiapa pun yang dapat merampas kedudukan ibumu kerana walaupun anda salah, tetapi dari kaca matanya, tindakan anda betul. Dia mungkin akan memarahi anda untuk perkara yang remeh-temeh tetapi bukan untuk perkara-perkara yang besar"
Terdapat banyak lagi pepatah yang tersimpan dengan kemas dalam diari saya tetapi pepatah inilah yang memberi impak yang terbesar buat diri saya. Ini kerana maksud yang tersirat di sebalik pepatah ini iaitu walaupun anda melakukan kesalahan yang besar dan disisihkan masyarakat, seorang ibu tidak akan mengeluarkan anaknya dari kamus kehidupannya. Sebaliknya, seorang ibu akan sentiasa menyokong anaknya yang merupakan insan teristimewa dari kaca matanya.
Pernahkah anda melawan kata ibu anda? Pernahkah anda meninggikan suara kepadanya? Mengajuk cakapnya? Menunjukkan riak wajah marah atau tidak puas hati di hadapannya? Menghempas pintu bilik sebagai tanda protes? Pernahkah anda terfikir bahawa ibu anda tidak layak untuk mengajar dan membimbing anda dan anda memerlukan ibu yang lebih sempurna? Jika anda pernah melakukan perkara-perkara tersebut, saya sarankan bahawa anda segera memohon maaf kepadanya sebelum terlambat. Jangan lupa bahawa segala yang dimiliki di alam yang fana ini hanya dipinjamkan ALLAH termasuklah ibu kita. Bukan itu sahaja, ibulah yang berjerih perih berbadan dua selama 9 bulan dan kemudiannya 'mengorbankan' seumur hidupnya untuk menjaga kita tanpa mengenal erti penat.
Saya sayangkan ibu saya. Sudah terang lagi nyata bahawa saya berbohong jika saya katakan bahawa saya tidak pernah melakukan perkara-perkara yang saya senaraikan. Namun, Alhamdulillah saya dapat menebus kesalahan saya dan masih mempunyai peluang untuk mendapatkan kemaafannya. Sejak ketinggian saya yang hanya mencecah pinggangnya hinggalah kini kami boleh saling berkongsi dan bertukar-tukar pakaian, jeans kasut dan sebagainya, saya rasa ibu saya masih seperti dahulu. Roseline Binti Muslih atau digelar Mama masih memiliki raut wajah yang tenang tanpa kedutan serta murah dengan senyuman dan nasihat untuk anak-anaknya.
Dia merupakan suri rumah tangga sepenuh masa dan menguruskan segalanya berkaitan hal rumah tangga termasuklah mengambil dan menghantar anak-anaknya ke sekolah dan kelas-kelas tambahan tanpa bantuan sesiapa pun terutamanya setelah saya menjejakkan kaki ke sekolah berasrama. Saya mendabik dada dan memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana memperoleh ibu yang tabah sepertinya.
Sabrina yang membawa maksud kesabaran ialah nama yang diberikan kepada adik saya. Ironinya, dia memiliki semua sifat kecuali sifat kesabaran. Dia bukanlah jenis yang akan berfikir masak-masak sebelum melakukan sesuatu. Dia merupakan seorang yang 'happy-go-lucky' dan tidak akan mengerutkan kening untuk memikirkan konsekuensi tindakannya. "Nanti stres, lagi cepat tua" bilangnya dengan nada bercanda. Badannya bersaiz kecil yang menyebabkan dia sering dianggap sebagai pelajar Darjah 4 padahal usianya hanya 3 tahun berbeza daripada saya.
Kecil-kecil cili api menjadi pegangannya kerana dia berjaya membuktikan kepada semua orang bahawa di sebalik muka 'babyface'nya itu, pelbagai bakat yang dimilikinya. Dia memperoleh tali pinggang hijau dalam Taekwondo, pandai berenang, aktif dalam bola baling serta sentiasa menduduki tempat pertama setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Impiannya adalah untuk membuka sebuah klinik pakar sakit puan dan menawarkan perkhidmatannya kepada mereka yang memerlukan. Sifat kami sangat berlainan bagai langit dengan bumi tetapi kami ibarat magnet- seorang bercas positif dan yang seorang lagi bercas negatif dan akhirnya bercantum! Walaupun kadang kala terdapat 'geseran' , namun itu yang merapatkan hubungan kami sebagai adik dan kakak yang saling menyayangi.
Tidak ketinggalan adik lelaki saya, Akmal Ashraf yang berusia 8 tahun dan kini belajar di bekas sekolah saya dulu iaitu SK Seri Selangor. Sudah menjadi lumrah bahawa adik-beradik dari kaum Adam akan bersifat menjengkelkan dan adik lelaki saya tidak terkecuali. Walaupun begitu, apabila dia tersenyum atau mulai ketawa berdekah-dekah, hati saya akan cair secara automatik dan segala kesalahannya atau pertelingkahan antara kami akan melayang ke luar tingkap. Saya akan merasakan bahawa saya kakak yang paling bertuah kerana memiliki adik yang cukup comel.........hinggalah dia mengenakan saya sekali lagi.
Akmal sangat menggemari makanan 'Mamak' seperti roti canai, putumayam dan lain-lain. Selain itu, dia pasti akan 'melekat' di hadapan skrin komputer berjam-jam lamanya hinggalah disuruh Mama untuk berhenti. Itupun setelah dipujuk bagai nak rak. Tetapi dia juga seorang kanak-kanak yang aktif di sekolah hingga timbul insiden dia terhantuk kerana berlari-lari yang menggemparkan satu sekolah kerana kepalanya bagaikan terdapat bola golf!
Begitulah alkisahnya tentang keluarga saya yang serba sederhana tetapi mementingkan nilai kasih sayang antara kami. Jika anda mula membandingkan keluarga anda dengan keluarga orang lain, ingatlah walaupun dari mata kasar, keluarga kita nampak tidak sempurna tetapi ketahuilah bahawa mereka menyayangi dengan sempurna...
Sebelum saya mengakhiri 'post' saya ini, luangkanlah sedikit masa untuk menonton video ini...sekian....

No comments:
Post a Comment